loading...

7 Januari 2016

Laluan Baru Gunung Kinabalu : SEJUTA RASA

Sebelum membaca artikel ini saya senang mengajak kalian membaca tulisan sebelumnya [Gunung Kinabalu Kembali Tersenyum]
XPDC GUNUNG KINABALU
Gunung Kinabalu tidak ada habisnya menyuguhkan panorama kelas pertama kepada pelawatnya. Jam 1.40 pagi yang sangat pagi kami bangun untuk bersiap menikmati supper sebelum memulakan perjalanan menuju puncak tertinggi Malaysia. Perasaan ingin tidur-tidur diatas katil sangatlah menguasai diri. Saya tidur diatas katil bersama seorang manusia yang jika ke gunung selalu tidur disampingnya. ar, lupa ambil gambar  (haha). Dalam bilik kami ada 4 katil bertingkat untuk 8 orang dan satu darinya menjadi tempat bagi si perempuan inggeris yang bukan dari kumpulan kami. Group saya ditempatkan di dua bilik yang berbeza dengan masing-masing berkapasiti 8 dan 12 orang.

Jujur saja, kali ini saya tidak banyak mengambil gambar menyebabkan gambar semasa briefing sebelum memulakan perjalanan ke puncak tiada. Jika tidak, disana ada wajah-wajah teman seperjuangan tersenyum mesra menampakkan gigi yang tak diberus pagi. (haha). ~sebenarnya mungkin ada, tetapi jumlahnya tidak ramai~ airnya sejuk meski di Laban Rata tersedia heater berbanding penginapan sebelumnya yang sangat sejuk tanpa bantuan sebarang heater dan perlu memasak air untuk dibuat minuman panas. Melainkan jika rajin turun ke Laban Rata dan menikmati juadah yang tersedia. (Dikebanyakan waktu jumlah yang rajin adalah sangat sedikit dan saat seperti itu sangat membuatkan saya rindu suasana Gunting Lagadan, beramai-ramai berdiri didepan gas menunggu giliran mengambil air panas tidak hanya dengan teman-teman sendiri tetapi, dari semua lapisan pendaki gunung seluruh dunia). Rindu menjelma kala menulis artikel ini.
XPDC GUNUNG KINABALU
Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan
Usai menikmati makanan ditengah pagi itu kami berkumpul untuk mendengar briefing dari guide dan memulakan perjalanan pada jam 2.30am. Ini merupakan pengalaman pertama saya menggunakan laluan baru Gunung Kinabalu. Pada awal perjalanan ia tidaklah sesusah mana, lagi pula keadaan tidak begitu sejuk. Perjalanan dihiasi oleh sang rembulan dan bintang-bintang berkelip cemerlang diatas samuderaya menandakan cuaca sangat baik.
XPDC GUNUNG KINABALU
Melangkahlah ...
Sebenarnya sepanjang dua hari kami berada digunung ada orang yang lebih khuatir berbanding diri kita yang berada digunung itu. Jam 2 pagi juga telefon dan itu kebiasaan bagi seorang manusia pemilik nama dihujung nama kita. Apatah lagi, hari sebelumnya terjadi gegaran berskala 3.3 (itu apa yang saya terbaca dilaman sosial dan 'dengar-dengaran').
XPDC GUNUNG KINABALU
Panorama gunung Kinabalu
XPDC GUNUNG KINABALU
Siapa kata Gunung Kinabalu tiada bunga ?
Pemandangan di trail baru tidak dinafikan sangat mempesona kalbu dan jika jarak untuk ke tempat itu tidaklah jauh dan tidaklah menggunakan tenaga separuh mati, ingin rasanya selalu disana. Melihat dan menikmati panorama indah itu. Ada laluan yang agak landai dan pastinya ada laluan yang seperti mendongak langit biru baru terlihat hujung tangga tersebut.

Tinggi !
XPDC GUNUNG KINABALU
antara laluan yang best
Itu kata yang tepat. Namun, jika tidak tinggi pasti itu tidak disebut gunung. Syukur saya bukan pemilik rasa gayat cuma kata-kata guide yang mengatakan trail tangga itu merupakan kawasan yang sangat berpotensi sebagai kawasan berbahaya dan harus melalui jalan tersebut dengan cepat tanpa berlengah-lengah. Nafasku sangat terbatas jika harus berjalan pantas ditempat yang tinggi, gelap pula. Meski kata guide jangan 'lambat-lambat, bahaya sini adalah 101%' , saya tidak mampu untuk berjalan terus tanpa berhenti. Saya beserta beberapa orang berjalan jika dirakam pasti seperti orang-orang tua kerepot berjalan (haha), berjalan dan berehat lagi. Berjalan dan berehat lagi. Apa pun, ia adalah keinginan hati sendiri tanpa paksaan dari siapa-siapa untuk turut serta dalam ekspedisi ini malah, sayalah yang mengajak teman-teman dalam team ini untuk ikut saya berpetualang digunung Kinabalu.
XPDC GUNUNG KINABALU
kerana itu mendaki gunung harus 'FIT'
Hajat dihati tidak mahu melangkah hingga ke puncak, cukup didekat kolam selepas kilometer 8 itu. Namun, siapa tahu niat terpadam sebelum hasrat terealisasi, ternyata rehat-rehat di Sayat-Sayat check point sangat membuat segala otot terbuai bahagia untuk melanjutkan rehat tanpa meneruskan perjalanan. Sekitar jam 4.30 pagi saya berada di Sayat-Sayat bersama 4 orang teman, tidak lama kemudian kerabat yang terwujud dari orang tua yang sama menyusul hadir. 'wow' semoga hasrat mereka sama seperti saya dan jika 'iya' saya ada teman untuk berehat di Sayat-Sayat sehingga jam 6am. Ternyata mereka juga tidak mahu meneruskan perjalanan kerana kata mereka puncak itu masih sama seperti puncak yang dilihat berkali-kali sebelumnya. Untuk kali ini saya bahagia untuk berada di Sayat-Sayat sahaja. Penjaga check point menawarkan air panas untuk kami dan guide bertanya untuk kali terakhir 'betul-betulkah nda mau naik lagi' .

'Iya, betul'

..dan kami ditawarkan untuk tidur di Sayat-Sayat Hut . Siapa kami untuk tidak menerima tawaran tersebut ? kami dengan senang menerima pelawaan tersebut. Tidur didalam pondok kecil itu sehingga jam 5:40am. Bangun untuk melihat matahari terbit. Ketika keluar dari pondok tersebut, perkataan pertama yang keluar adalah 'wow' . Lautan awan sepertinya berada dibawah kami. Kami diatas, awan dibawah .. :P Matahari terbit perlahan-lahan. Sejujurnya ia merupakan pemandangan yang sangat indah. Ketika menutup mata meski bukan ditempat itu lagi, saya masih mampu terbayang akan pemandangan itu. Sangat indah ! kerana itu berapa pun kalinya saya bersusah-payah mendaki gunung Kinabalu ia selalu terbalas dengan pemandangan yang indah. Segala rasa penat hilang dibawa bayu  dibalik kabus pergunungan.
XPDC GUNUNG KINABALU
dipondok kecil itu kami berempat menanti suria terbit, diatasnya bongkah batu besar
XPDC GUNUNG KINABALU
Matahari terbit, indahnya luarbiasa
Rakan-rakan yang lain berjaya bergambar dengan signboard puncak gunung Kinabalu dan itu merupakan pencapaian yang baik buat mereka. Maksud saya, mereka memiliki penghujung tahun 2015 yang hebat ! Pasti mereka terasa ingin teriak diatas sana dan mengabarkan pada dunia bahawa mereka boleh ! eh, mereka boleh. Mereka boleh. Tahniah untuk korang. Saya pernah menikmati beberapa kali berada dipuncak sana dan rasanya sangat sukar ditulis dengan perkataan. Yang pasti hati tersenyum lebar dan rasa puas yang luarbiasa.

Selepas melakukan rutin wajib ketika berada di Gunung Kinabalu, mengambil gambar berlatar-belakangkan lautan awan dan matahari terbit dan dinding-dinding gunung yang tinggi, kami pun turun dan kembali ke Laban Rata. Waktu itu kami tidak ditemani oleh guide kerana satu guide berada dibawah menjaga peserta lain yang terhenti ditengah jalan dan yang lain menjaga peserta yang berada dihadapan yang jumlahnya lebih ramai. Namun, penjaga checkpoint itu berpesan agar kami berhati-hati dan jangan 'lama-lama' dikawasan berbahaya. Pesan disambut dengan terima kasih dan senyuman . Ditengah perjalanan kami bertemu dengan para rescue atau  MOSAR . Berbalas 'hi~hi, take care, you smile I smile, I smile you smile' kami pun turun.

Sebenarnya sepanjang pendakian kita tidak akan pernah dibiarkan sendirian, pasti ada yang memantau kita. Jika bukan guide pasukan kita, pasti ada guide pasukan lain yang membantu atau pun akan dipantau oleh MOSAR lagi pula kini mereka dilengkapi dengan sistem walkie-talkie, memudahkan komunikasi sesama mereka untuk mengetahui keadaan dan lokasi terkini setiap pendaki. Saya tidak mengatakan guide pasukan kami tidak menjaga kami, malah mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Eh, luka sikit pun mereka akan khuatir, lapar dan dahaga akan mereka risaukan. Thanks, Mr Guide !

Lagi satu walaupun mendaki adalah atas risiko sendiri tetapi, kita tidak pernah dibiarkan meniti perjalanan tanpa kata-kata nasihat mahupun semangat. Barang-barang juga adalah atas tangujawab sendiri, hilang tidak boleh mempersalahkan sesiapa tetapi, guide Gunung Kinabalu tidak akan membiarkan ia berlaku hilang dan terus hilang. Rakanku kehilangan handphone ketika turun dari puncak gunung Kinabalu, waima senyum masih jelas diwajah namun hakikat menjelaskan bahawa dia sedang bersedih kerana handphonenya merekodkan banyak gambar-gambar berharga didalamnya. Kecewa la tu ! haha. Geng kumpulan berkata, handphone itu pasti akan ditemui. Ternyata firasat benar terjadi, handphone tersebut telah ditemui oleh seorang guide dan diserahkan kembali kepada tuan empunya handphone tersebut. Terima kasih Mr Guide !
XPDC GUNUNG KINABALU
Mr Guide yang berjaya menemukan handphone yang hilang
Selepas melalui zon bahaya, langkah kami kembali perlahan-lahan . Kami menikmati suasana trail baru yang mana menghidangkan pemandangan kelas satu negeri Sabah. Mari saya membawa anda menyelami aura Kinabalu yang indah. Keindahan alam semulajadi sangat tertata rapi. Mungkin ada yang berhajat untuk mendakinya untuk pertama kalinya ? Pengelolaan gunung adalah sangat profesional, mountain guide adalah sangat ramah dan membantu. Meski ketinggiannya 4095m tetapi, jalur perjalanannya dibuat sebaik mungkin untuk keselamatan para pelawatnya. Jika mungkin anda kurang membaca info, disini saya suka memajukan satu kata bahawa Gunung Kinabalu merupakan warisan dunia yang harus dilestarikan flora dan faunanya yang beraneka, Gunung Kinabalu adalah UNESCO World Heritage Site.
XPDC GUNUNG KINABALU
Duduk bersandarkan dinding gunung
XPDC GUNUNG KINABALU
Pemandangan dari kawasan ini sangat indah
Check out adalah jam 10 am tetapi oleh kerana kami berada di Laban Rata lebih awal maka, kami check out lebih cepat. Sarapan ala buffet,  makan sepuas perut dan semahu mulut. Saya makan asal ada kerana takut perut kenyang menyusahkan pergerakan turun.
XPDC GUNUNG KINABALU

XPDC GUNUNG KINABALU
Guide kami  telah memberitahu satu peraturan baru yang katanya :

'kalau kamu lambat turun melebihi jam 4 petang pigi Timpohon Gate, kamu akan dikenakan bayaran extra sebanyak RM15'

Saya kurang pasti itu gurauan atau memang benar-benar peraturan baru. Jika ya, ia adalah perkara biasa dan itu sangat baik agar pendaki tidak berlengah-lengah ditengah jalan sehingga melebihi 6 jam untuk turun. Saya pernah ke Kawah Domas, Indonesia dan hal yang sama turut dipraktikkan. Saya dan kebanyakan rakan-rakan berjaya sampai ke Timpohon Gate lebih awal pada tengahari itu. Paling lewat pun sampai sekitar jam 3 petang.

Keseluruhan ekspedisi berjalan dengan lancar dan yang pastinya menambah satu lagi pengalaman indah didalam peribadi masing-masing. Sering orang bertanya untuk apa mendaki gunung berkali-kali, tiada jawapan yang tepat untuk menjawab soalan bagi mereka yang tak pernah merelakan kakinya sendiri melangkah hingga ke pergunungan yang tinggi. Jika mahu jawapan, apa kata izinkan kakimu menghayun langkah sekali ini untuk sama-sama melihat ciptaan Tuhan diatas sana, pasti akan ada kata 'ingin lagi' selepas itu. Sebenarnya mendaki gunung bukan hobi, lebih tepatnya kebanyakan pendaki mendaki kerana rasa candu.

XPDC GUNUNG KINABALU
Berjalanlah keluar, kamu akan memiliki satu sampai dua cerita ketika kembali.
Lagi indah, kamu akan mendapat 5 atau lebih kawan baru selepas itu.

Selepas ini saya akan ke Gunung Trusmadi.  Ada yang berminat ? mari kita gabung dan menjadi satu team sahabat. 

Till next climb ! selebihnya, nikmatilah gambar dan senyum kami dari tempat yang tinggi khas untuk pembaca sekalian.
XPDC GUNUNG KINABALU
Senyum puas...berjaya menakluk puncak Kinabalu untuk ke dua kalinya
XPDC GUNUNG KINABALU
Jika awal tahun 2015 gagal ke puncak, penghujung 2015 dia berjaya
XPDC GUNUNG KINABALU
Sampai bertemu lagi
Laluan Baru Gunung Kinabalu : SEJUTA RASA
TAHNIAH !

Reactions:

1 comments:

Raziman Rent Car Sabah berkata...


Assalamualaikum...

Kami menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan homestay di Kota Kinabalu pada harga paling murah

1. Viva RM90
2. Myvi RM120
3 Saga RM120
4. Alza RM140
5. Exora RM150
6. Avanza RM170
7. Vios RM180
8. Urvan RM230

Homestay RM100.00 semalam

Hubungi sy Raziman utk pertanyaan lanjut 0129600702
0129600702 (Whatsapp)