loading...
Memaparkan catatan dengan label Mt Kinabalu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mt Kinabalu. Papar semua catatan

7 Januari 2016

Laluan Baru Gunung Kinabalu : SEJUTA RASA

Sebelum membaca artikel ini saya senang mengajak kalian membaca tulisan sebelumnya [Gunung Kinabalu Kembali Tersenyum]
XPDC GUNUNG KINABALU
Gunung Kinabalu tidak ada habisnya menyuguhkan panorama kelas pertama kepada pelawatnya. Jam 1.40 pagi yang sangat pagi kami bangun untuk bersiap menikmati supper sebelum memulakan perjalanan menuju puncak tertinggi Malaysia. Perasaan ingin tidur-tidur diatas katil sangatlah menguasai diri. Saya tidur diatas katil bersama seorang manusia yang jika ke gunung selalu tidur disampingnya. ar, lupa ambil gambar  (haha). Dalam bilik kami ada 4 katil bertingkat untuk 8 orang dan satu darinya menjadi tempat bagi si perempuan inggeris yang bukan dari kumpulan kami. Group saya ditempatkan di dua bilik yang berbeza dengan masing-masing berkapasiti 8 dan 12 orang.

Jujur saja, kali ini saya tidak banyak mengambil gambar menyebabkan gambar semasa briefing sebelum memulakan perjalanan ke puncak tiada. Jika tidak, disana ada wajah-wajah teman seperjuangan tersenyum mesra menampakkan gigi yang tak diberus pagi. (haha). ~sebenarnya mungkin ada, tetapi jumlahnya tidak ramai~ airnya sejuk meski di Laban Rata tersedia heater berbanding penginapan sebelumnya yang sangat sejuk tanpa bantuan sebarang heater dan perlu memasak air untuk dibuat minuman panas. Melainkan jika rajin turun ke Laban Rata dan menikmati juadah yang tersedia. (Dikebanyakan waktu jumlah yang rajin adalah sangat sedikit dan saat seperti itu sangat membuatkan saya rindu suasana Gunting Lagadan, beramai-ramai berdiri didepan gas menunggu giliran mengambil air panas tidak hanya dengan teman-teman sendiri tetapi, dari semua lapisan pendaki gunung seluruh dunia). Rindu menjelma kala menulis artikel ini.
XPDC GUNUNG KINABALU
Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan
Usai menikmati makanan ditengah pagi itu kami berkumpul untuk mendengar briefing dari guide dan memulakan perjalanan pada jam 2.30am. Ini merupakan pengalaman pertama saya menggunakan laluan baru Gunung Kinabalu. Pada awal perjalanan ia tidaklah sesusah mana, lagi pula keadaan tidak begitu sejuk. Perjalanan dihiasi oleh sang rembulan dan bintang-bintang berkelip cemerlang diatas samuderaya menandakan cuaca sangat baik.
XPDC GUNUNG KINABALU
Melangkahlah ...
Sebenarnya sepanjang dua hari kami berada digunung ada orang yang lebih khuatir berbanding diri kita yang berada digunung itu. Jam 2 pagi juga telefon dan itu kebiasaan bagi seorang manusia pemilik nama dihujung nama kita. Apatah lagi, hari sebelumnya terjadi gegaran berskala 3.3 (itu apa yang saya terbaca dilaman sosial dan 'dengar-dengaran').
XPDC GUNUNG KINABALU
Panorama gunung Kinabalu
XPDC GUNUNG KINABALU
Siapa kata Gunung Kinabalu tiada bunga ?
Pemandangan di trail baru tidak dinafikan sangat mempesona kalbu dan jika jarak untuk ke tempat itu tidaklah jauh dan tidaklah menggunakan tenaga separuh mati, ingin rasanya selalu disana. Melihat dan menikmati panorama indah itu. Ada laluan yang agak landai dan pastinya ada laluan yang seperti mendongak langit biru baru terlihat hujung tangga tersebut.

Tinggi !
XPDC GUNUNG KINABALU
antara laluan yang best
Itu kata yang tepat. Namun, jika tidak tinggi pasti itu tidak disebut gunung. Syukur saya bukan pemilik rasa gayat cuma kata-kata guide yang mengatakan trail tangga itu merupakan kawasan yang sangat berpotensi sebagai kawasan berbahaya dan harus melalui jalan tersebut dengan cepat tanpa berlengah-lengah. Nafasku sangat terbatas jika harus berjalan pantas ditempat yang tinggi, gelap pula. Meski kata guide jangan 'lambat-lambat, bahaya sini adalah 101%' , saya tidak mampu untuk berjalan terus tanpa berhenti. Saya beserta beberapa orang berjalan jika dirakam pasti seperti orang-orang tua kerepot berjalan (haha), berjalan dan berehat lagi. Berjalan dan berehat lagi. Apa pun, ia adalah keinginan hati sendiri tanpa paksaan dari siapa-siapa untuk turut serta dalam ekspedisi ini malah, sayalah yang mengajak teman-teman dalam team ini untuk ikut saya berpetualang digunung Kinabalu.
XPDC GUNUNG KINABALU
kerana itu mendaki gunung harus 'FIT'
Hajat dihati tidak mahu melangkah hingga ke puncak, cukup didekat kolam selepas kilometer 8 itu. Namun, siapa tahu niat terpadam sebelum hasrat terealisasi, ternyata rehat-rehat di Sayat-Sayat check point sangat membuat segala otot terbuai bahagia untuk melanjutkan rehat tanpa meneruskan perjalanan. Sekitar jam 4.30 pagi saya berada di Sayat-Sayat bersama 4 orang teman, tidak lama kemudian kerabat yang terwujud dari orang tua yang sama menyusul hadir. 'wow' semoga hasrat mereka sama seperti saya dan jika 'iya' saya ada teman untuk berehat di Sayat-Sayat sehingga jam 6am. Ternyata mereka juga tidak mahu meneruskan perjalanan kerana kata mereka puncak itu masih sama seperti puncak yang dilihat berkali-kali sebelumnya. Untuk kali ini saya bahagia untuk berada di Sayat-Sayat sahaja. Penjaga check point menawarkan air panas untuk kami dan guide bertanya untuk kali terakhir 'betul-betulkah nda mau naik lagi' .

'Iya, betul'

..dan kami ditawarkan untuk tidur di Sayat-Sayat Hut . Siapa kami untuk tidak menerima tawaran tersebut ? kami dengan senang menerima pelawaan tersebut. Tidur didalam pondok kecil itu sehingga jam 5:40am. Bangun untuk melihat matahari terbit. Ketika keluar dari pondok tersebut, perkataan pertama yang keluar adalah 'wow' . Lautan awan sepertinya berada dibawah kami. Kami diatas, awan dibawah .. :P Matahari terbit perlahan-lahan. Sejujurnya ia merupakan pemandangan yang sangat indah. Ketika menutup mata meski bukan ditempat itu lagi, saya masih mampu terbayang akan pemandangan itu. Sangat indah ! kerana itu berapa pun kalinya saya bersusah-payah mendaki gunung Kinabalu ia selalu terbalas dengan pemandangan yang indah. Segala rasa penat hilang dibawa bayu  dibalik kabus pergunungan.
XPDC GUNUNG KINABALU
dipondok kecil itu kami berempat menanti suria terbit, diatasnya bongkah batu besar
XPDC GUNUNG KINABALU
Matahari terbit, indahnya luarbiasa
Rakan-rakan yang lain berjaya bergambar dengan signboard puncak gunung Kinabalu dan itu merupakan pencapaian yang baik buat mereka. Maksud saya, mereka memiliki penghujung tahun 2015 yang hebat ! Pasti mereka terasa ingin teriak diatas sana dan mengabarkan pada dunia bahawa mereka boleh ! eh, mereka boleh. Mereka boleh. Tahniah untuk korang. Saya pernah menikmati beberapa kali berada dipuncak sana dan rasanya sangat sukar ditulis dengan perkataan. Yang pasti hati tersenyum lebar dan rasa puas yang luarbiasa.

Selepas melakukan rutin wajib ketika berada di Gunung Kinabalu, mengambil gambar berlatar-belakangkan lautan awan dan matahari terbit dan dinding-dinding gunung yang tinggi, kami pun turun dan kembali ke Laban Rata. Waktu itu kami tidak ditemani oleh guide kerana satu guide berada dibawah menjaga peserta lain yang terhenti ditengah jalan dan yang lain menjaga peserta yang berada dihadapan yang jumlahnya lebih ramai. Namun, penjaga checkpoint itu berpesan agar kami berhati-hati dan jangan 'lama-lama' dikawasan berbahaya. Pesan disambut dengan terima kasih dan senyuman . Ditengah perjalanan kami bertemu dengan para rescue atau  MOSAR . Berbalas 'hi~hi, take care, you smile I smile, I smile you smile' kami pun turun.

Sebenarnya sepanjang pendakian kita tidak akan pernah dibiarkan sendirian, pasti ada yang memantau kita. Jika bukan guide pasukan kita, pasti ada guide pasukan lain yang membantu atau pun akan dipantau oleh MOSAR lagi pula kini mereka dilengkapi dengan sistem walkie-talkie, memudahkan komunikasi sesama mereka untuk mengetahui keadaan dan lokasi terkini setiap pendaki. Saya tidak mengatakan guide pasukan kami tidak menjaga kami, malah mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Eh, luka sikit pun mereka akan khuatir, lapar dan dahaga akan mereka risaukan. Thanks, Mr Guide !

Lagi satu walaupun mendaki adalah atas risiko sendiri tetapi, kita tidak pernah dibiarkan meniti perjalanan tanpa kata-kata nasihat mahupun semangat. Barang-barang juga adalah atas tangujawab sendiri, hilang tidak boleh mempersalahkan sesiapa tetapi, guide Gunung Kinabalu tidak akan membiarkan ia berlaku hilang dan terus hilang. Rakanku kehilangan handphone ketika turun dari puncak gunung Kinabalu, waima senyum masih jelas diwajah namun hakikat menjelaskan bahawa dia sedang bersedih kerana handphonenya merekodkan banyak gambar-gambar berharga didalamnya. Kecewa la tu ! haha. Geng kumpulan berkata, handphone itu pasti akan ditemui. Ternyata firasat benar terjadi, handphone tersebut telah ditemui oleh seorang guide dan diserahkan kembali kepada tuan empunya handphone tersebut. Terima kasih Mr Guide !
XPDC GUNUNG KINABALU
Mr Guide yang berjaya menemukan handphone yang hilang
Selepas melalui zon bahaya, langkah kami kembali perlahan-lahan . Kami menikmati suasana trail baru yang mana menghidangkan pemandangan kelas satu negeri Sabah. Mari saya membawa anda menyelami aura Kinabalu yang indah. Keindahan alam semulajadi sangat tertata rapi. Mungkin ada yang berhajat untuk mendakinya untuk pertama kalinya ? Pengelolaan gunung adalah sangat profesional, mountain guide adalah sangat ramah dan membantu. Meski ketinggiannya 4095m tetapi, jalur perjalanannya dibuat sebaik mungkin untuk keselamatan para pelawatnya. Jika mungkin anda kurang membaca info, disini saya suka memajukan satu kata bahawa Gunung Kinabalu merupakan warisan dunia yang harus dilestarikan flora dan faunanya yang beraneka, Gunung Kinabalu adalah UNESCO World Heritage Site.
XPDC GUNUNG KINABALU
Duduk bersandarkan dinding gunung
XPDC GUNUNG KINABALU
Pemandangan dari kawasan ini sangat indah
Check out adalah jam 10 am tetapi oleh kerana kami berada di Laban Rata lebih awal maka, kami check out lebih cepat. Sarapan ala buffet,  makan sepuas perut dan semahu mulut. Saya makan asal ada kerana takut perut kenyang menyusahkan pergerakan turun.
XPDC GUNUNG KINABALU

XPDC GUNUNG KINABALU
Guide kami  telah memberitahu satu peraturan baru yang katanya :

'kalau kamu lambat turun melebihi jam 4 petang pigi Timpohon Gate, kamu akan dikenakan bayaran extra sebanyak RM15'

Saya kurang pasti itu gurauan atau memang benar-benar peraturan baru. Jika ya, ia adalah perkara biasa dan itu sangat baik agar pendaki tidak berlengah-lengah ditengah jalan sehingga melebihi 6 jam untuk turun. Saya pernah ke Kawah Domas, Indonesia dan hal yang sama turut dipraktikkan. Saya dan kebanyakan rakan-rakan berjaya sampai ke Timpohon Gate lebih awal pada tengahari itu. Paling lewat pun sampai sekitar jam 3 petang.

Keseluruhan ekspedisi berjalan dengan lancar dan yang pastinya menambah satu lagi pengalaman indah didalam peribadi masing-masing. Sering orang bertanya untuk apa mendaki gunung berkali-kali, tiada jawapan yang tepat untuk menjawab soalan bagi mereka yang tak pernah merelakan kakinya sendiri melangkah hingga ke pergunungan yang tinggi. Jika mahu jawapan, apa kata izinkan kakimu menghayun langkah sekali ini untuk sama-sama melihat ciptaan Tuhan diatas sana, pasti akan ada kata 'ingin lagi' selepas itu. Sebenarnya mendaki gunung bukan hobi, lebih tepatnya kebanyakan pendaki mendaki kerana rasa candu.

XPDC GUNUNG KINABALU
Berjalanlah keluar, kamu akan memiliki satu sampai dua cerita ketika kembali.
Lagi indah, kamu akan mendapat 5 atau lebih kawan baru selepas itu.

Selepas ini saya akan ke Gunung Trusmadi.  Ada yang berminat ? mari kita gabung dan menjadi satu team sahabat. 

Till next climb ! selebihnya, nikmatilah gambar dan senyum kami dari tempat yang tinggi khas untuk pembaca sekalian.
XPDC GUNUNG KINABALU
Senyum puas...berjaya menakluk puncak Kinabalu untuk ke dua kalinya
XPDC GUNUNG KINABALU
Jika awal tahun 2015 gagal ke puncak, penghujung 2015 dia berjaya
XPDC GUNUNG KINABALU
Sampai bertemu lagi
Laluan Baru Gunung Kinabalu : SEJUTA RASA
TAHNIAH !

5 Januari 2016

Gunung Kinabalu Kembali Tersenyum

Ternyata hari ini saya mempunyai masa untuk menulis, sekali gus ia menjadi tulisan pertama saya ditahun 2016. Yay ! happy new year !

Sebelum menulis tentang aktiviti hujung tahunku saya sempat berasa bangga akan Gunung Kinabalu dan pengelolaannya.
Memetik kata seorang blogger Indonesia si  'KakiSamson' katanya : Tanpa menutup mata, saya mengakui bahawa pengelolaan Taman Nasional (Gunung Kinabalu) di Malaysia jauh di depan Indonesia. Bagaimanapun, tujuan saya menulis ini bukan untuk menjelek-jelekkan gunung di Indonesia....tujuan perjalanan adalah bukan hanya senang-senang tapi juga pembelajaran.
17 orang semuanya ~ bertemu, berkenalan dan menjadi teman
30-31 Disember 2015, untuk tiga tahun berturut-turut saya mendaki Gunung Kinabalu kerana kata orang hujung  tahun merupakan hari yang sejuk berbanding hari-hari lain. Mengikut pengalaman sebelumnya, ternyata ia benar. Namun, untuk kali ini cuaca adalah panas dan sempat kulitku digigit asmara sang mentari pergunungan dibeberapa kawasan yang tumbuhannya terbuka tanpa diatapi  tumbuhan hijau. Tiada hujan dan angin yang kuat. Namun, seperti biasa dikawasan Laban Rata sejuk mencucuk liang kulit masih terjadi dan itu sangat membuat saya menikmati Gunung Kinabalu apa adanya.

Kali ini XPDC Gunung Kinabalu melibatkan 17 orang dan beberapa darinya merupakan peserta yang saya kenal beberapa minggu sebelum pendakian bermula. Benda yang paling saya tidak suka selalu terjadi, peserta asal yang beriya-iya pada mulanya menarik diri di saat akhir dan saya harus mencari orang baru dan mengurus beberapa hal dengan Sabah Park.  Saya tidak salahkan mereka kerana apa pun itu, keputusan masih ada ditangan mereka untuk meneruskannya atau tidak.
Nikmati setiap perjalanan
Tiga minggu sebelum pendakian bermula saya berjaya mendapatkan beberapa orang baru atas bantuan beberapa kawan. Kepada mereka, terima kasih !

30 Disember, saya maklumkan kepada semua peserta agar mereka berkumpul di National Park pada jam 7.00 am. Kebanyakan peserta hadir sebelum jam 7 namun tidak dinafikan ada yang datang selepas jam 7.00. Di National Park, ada beberapa hal lagi yang perlu diurus seperti membayar Mountain Guide, transport, sijil dan mengambil kupon makanan untuk 2 hari 1 malam. 

Sebelum pendakian bermula , kami perlu mengambil pack lunch dari Balsam Buffet Restaurant. Malangnya pekerja di restaurant itu berkata bahawa 'bekas tapau' telah habis dan mereka juga perlu menyediakan nasi goreng.

Nasi goreng ?

Iya. nasi goreng. Tiada lagi sandwich untuk orang Sabah. sekurang-kurangnya itu kata mereka. 'Hanya orang puteh suka makan sandwich dan buah-buahan' (saya kurang pasti itu apa sebenarnya yang terjadi atau ia sekadar kata-kata untuk menyembunyikan perkara sebenar. Mungkin mereka tidak menyediakan sandwich dan buah-buahan kerana tidak tahu akan kehadiran kami atau sebaliknya..saya tidak tahu. Apa pun, semua peserta menikmati makanan itu. Terima kasih kepada tukang masak dan yang terlibat dalam penyediaan makanan untuk mengalas perut sepanjang perjalanan kami menuju Laban Rata).

Kami memulakan perjalanan pada jam 9.30 pagi dan didetik itulah segala rasa bermula dari rasa keterujaan bagi sesetengah peserta kerana pertama kali membenarkan diri dalam XPDC ini juga, betapa terujanya kerana sekali lagi merelakan kaki berasa lenguh akan perjalanan yang panjang.
laluan telah dibaik pulih dari tragedi Gempa bumi
Seperti biasa berjalan beiringan sehingga pondok pertama atau pondok kedua, seterusnya masing-masing berjalan sendirian menurut kekuatan kaki masing-masing. Bukan masalah berjalan sendirian kerana ada guide yang akan menjaga dan memantau setiap peserta dari masa ke semasa. Saya lebih suka berjalan sendirian atau sekurang-kurangnya seorang teman berada disamping. Tidak kiralah siapa dia, kawan atau peserta kumpulan lain yang penting ada orang berjalan bersama saya. hehe.

Ketika berjalan ada yang pantas dihadapan dan tidak kurang pula yang bergerak 'slow and steady' dibelakang. Saya tidak mampu berjalan selaju mereka yang sampai seawal jam 1 di Laban Rata dan tidak pula pernah mahu membenarkan diri ini sampai di Laban Rata selewat jam 5 petang. Sebenarnya kami bermula agak lambat menyebabkan kami agak lewat sampai ke rumah rehat Laban Rata. Mengikut pendaftaran awal tahun penginapan kami adalah di Gunting Lagadan tetapi, atas sebab keselamatan selepas insiden Gempa bumi Jun lalu kami telah diarahkan untuk menginap di Laban Rata.
Laban Rata dari pandangan jauh, masih indah dan gagah
Saya tiba di Laban Rata kira-kira jam 3 petang dan itu pun setelah banyak kali berehat 2 kilometer terakhir kerana kelaparan. Saya terlupa mengambil makanan dari beg utama saya. Beg saya bukanlah bahu saya yang mengangkatnya melainkan saudara terkasih ku (weew) haha. Satu minggu lebih awal saya telah merancang untuk mengangkat beg saya sehingga pondok ke dua atau ke tiga dan selepas itu akan menggunakan perkhidmatan guide untuk mengangkat beg atas sebab takut mengalami kecederaan urat saraf lagi seperti yang terjadi 2 minggu sebelum XPDC tersebut. Oh, ternyata ada orang yang dengan sukarelanya mahu menolong saya. Hatiku bersorak riang . haha. Terima kasih saudaraku. :D
Feliz Navidad !
Kesemua peserta tiba di Laban Rata resthouse sebelum jam 5.10 petang. Oh ya, Krismas masih terasa di Laban Rata menambahkan seri Gunung Kinabalu dan semangat di dalam hati. Pemandangan gunung Kinabalu tidak pernah mengecewakan para pengunjungnya. Sentiasa menyambut dengan ramah dengan kecantikan semulajadinya. Ciptaan Tuhan selalu membuat hatiku kagum dan bersyukur selalu. 
Nikmati Hot Chocolate~nya bukan gelasnya, Thanks !
Special thanks juga buat teman gunungku, yang siap menyambut saya dengan segelas Hot Chocolate!  rasa sejuk diluar dihangatkan dengan minuman panas yang nyamannya hingga ke ulu hati dan jantung...dub dap dub dap..haha (just kidding !). Kerana itu disetiap waktu jangan pernah tidak memberikan senyum pada orang baru, siapa tahu dihari yang lain ia menjadi teman buat kita. Dimana pun kita berada, bersahabatlah dan jadilah baik.
Jam 4.30 petang, masa untuk makan malam !
Petang yang menawan dengan sinar mentari senja merajalela menguasai pergunungan yang gah meski, suatu detik terpilih gunung Kinabalu pernah dilanda gempa bumi. Mungkin ramai yang risau akan keadaan keselamatan kala mendaki Gunung Kinabalu, saya juga risau namun bukan risau ditahap yang ekstreme. Hakikatnya dimana pun kita berada jika itu adalah waktunya untuk kita dipanggil maka kita tetap tidak mampu menepisnya. Gunung Kinabalu tetap menjadi tempat dimana sumber inspirasi lahir dengan mudahnya. Terima kasih kepada pencipta Gunung Kinabalu yang olehnya saya berjaya menikmati suasana yang luarbiasa indahnya dari mata hari terbit kepada terbenamnya, pemandangan yang dijanjikan sentiasa indah dan memukau rasa.
Bersama Mr Fadilah & Mr Faldey
Gunung Kinabalu kembali tersenyum
Selebihnya, kubiarkan gambar berbicara sebelum bersambungnya episod seterusnya melalui trail baru menuju puncak Gunung Kinabalu keesokan harinya seawal jam 2.30 am.
strangers to friend
Menikmati sunset dari Laban Rata
Damai itu ketika melihat secara vertikal gumpalan awan putih, merasakan semilir angin gunung menyapa mesra. Kepada Gunung Kinabalu, terima kasih kerana kembali tersenyum dan kepada semua pendakinya tercipta sejuta memori tanpa ada yang boleh mengganggunya. 31 December 2015, harus melangkah lebih tinggi lagi kerana puncak Kinabalu siap menanti tetamunya.

9 Jun 2015

Terima Kasih Malim Gunung Kinabalu

Selama ini saya lebih memilih gunung berbanding pantai atau yang melibatkan air kecuali hanya untuk memandang atau melihat-lihat pantai dan peminat sang pantai dari tepian atau persisirannya.

Kenapa gunung ? gunung hanya memenatkan. Hanya membuang masa. Berjalan berjam-jam dan selepas itu turun lagi. Hanya itu !

Siapa kata hanya itu. Ia lebih dari itu. 

Ekspedisi Gunung Kinabalu seringkali membuat hatiku berdebar-debar dan teruja. Selain mendapat teman baru, pemandangan dari atas jauh lebih cantik daripada ketika anda memandang sesutu dari tempat yang rendah. Oooh saya suka negeri Sabah kerana didalam perutnya terletaknya Gunung Kinabalu. Megah dan dan menggoda. Dari kejauhan selalu ingin mendekat padanya. Menyentuh dirinya. Bermesra dengannya. Berkenalan dengannya.
Terima kasih Malim Gunung Kinabalu
Namun, untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu terkadang diri sendiri harus terseksa dengan perjalanan yang jauh dari status bukit kepada gunung. Waima, diri ini tidak pernah tidak mahu ke puncak Kinabalu.Tempat yang selalu menghadiahkan diriku dengan seribu satu inspirasi.
Gempa Bumi Gunung Kinabalu
Gunung Kinabalu akan tetap menjadi kegemaranku
05 June 2015 ,  telah berlakunya gempa bumi di Gunung Kinabalu. Saya tidak ingin berbicara banyak tentangnya kerana itu akan membuat hati saya pilu ketika harus mengenang kisah yang telah menimpa beberapa Malim Gunung dan pendakinya sehingga meninggal. 

Dusta, jika saya tidak sedih. 
Dusta, jika saya tidak merasakan tangisan dihati.

Tiada ahli keluarga yang terlibat tetapi, ramai malim gunung yang dikenali terlibat. Malim yang dahulunya tidak pernah dikenali namun, dengan pertemuan singkat di gunung Kinabalu kini menjadi kawan yang baik dan menyenangkan. 

Namun, bukan kenal atau tidak kenal menjadi ukuran untuk kita merasakan kesedihan tetapi kerana kita adalah manusia maka, seharusnya perasaan duka itu berlaku dan dialami dengan sendirinya. Sebagai warga Sabah yang telah beberapa kali menakluki gunung itu, perasaan sedih meniti dalam hati yang dalam. Sebuah perasaan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Antara terkejut dan sedih.

Setiap kali pendakian saya ke Gunung Kinabalu, saya selalu memperhatikan gelagat para guide yang ada. Sentiasa gembira pada wajah dan luaran namun, siapa pernah tahu jika mereka sebenarnya sedang melakukan yang terbaik dalam tugas meski mungkin mereka sama seperti kebanyakan kita mengalami banyak masalah. Namun, mereka tidak pernah mempamerkan wajah yang suram dan sedih dikhalayak tetamu yang melawat gunung Kinabalu.

Senyum yang mesra. Kata-kata yang penuh semangat. Tangan yang siap terhulur untuk membantu. Sesungguhnya mereka adalah insan yang banyak berkorban untuk para pelawat gunung Kinabalu. Saya tidak mereka-reka cerita ketika menulis bahawa mereka baik, tetapi saya menikmati kebaikan mereka ketika saya berada didalam jagaan mereka sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

Meski telah beberapa kali mendaki Gunung Kinabalu, tiada kata yang tepat untuk menggambarkan bahawa saya telah arif dengan gunung. Setiap kali mendaki pengalaman berbeza berlaku dan setiap kali itu jugalah saya memerlukan jagaan dari mereka yang bergelar malim gunung. Tanpa mereka, mustahil untuk kakiku melangkah selangkah lebih maju tepat pada waktunya untuk berdiri diatas puncak gunung Kinabalu, melihat kebesaran dan karya Penciptaan Tuhan yang esa dari tempat yang tinggi.
Tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu
Malim Gunung dan Pendaki yang terkorban, R.I.P.
Hari ini tulisan ini saya dedikasikan khas kepada semua Malim Gunung Kinabalu yang saya kenali juga, mereka yang hanya berselisih diperjalanan sambil berbalas senyum dan kata-kata ini terlontar mesra penuh semangat...

'Logot-logoton, osomok no rih'
('perlahan-lahan, dekat sudah')

Kadang, kata-kata tidak sempat dibalas kerana penat meraja dirasa hanya senyum sebagai tanda terima kasih untuk kata-kata tersebut.

Disepanjang perjalanan saya akui kebanyakan malim gunung suka bercerita kisah-kisah yang lucu, tertawa kecil menghibur para pendaki seakan-akan mereka tidak merasakan kelelahan.

'Jangan berehat terlalu lama, nanti kaki malas'
'penat ? mari saya bawa beg kamu'

Setiap keadaan kita diperhatikan oleh mereka. Mampukah kita meneruskan perjalanan atau tidak. Jika tidak mampu, tangan merekalah yang dihulurkan untuk terus berjalan. Jangan putus asa ! berjalan terus.

5615 ada malim yang terkorban, bukan kerana mereka tidak mampu menyelamatkan diri sendiri tetapi, pasti kerana mereka punya tanggungjawab yang lebih besar untuk menyelamatkan para tetamu yang melawat gunung pada hari itu.

Kepada semua malim gunung yang pergi mendahului rakan-rakan seperjuangan dengan cara ini, anda adalah hero yang patut dipuji meski pujian bukanlah tujuan anda. Anda hanya mahu lakukan yang terbaik.

Kepada semua malim gunung yang terselamat, tetaplah semangat seperti mana kata-kata anda ketika menyemangati kami untuk terus berjalan meski kaki terasa sangat penat dan tidak bermaya.

Yang pergi telah pergi namun, mereka pasti tidak akan pernah dilupakan. Mereka pergi dengan memperkenalkan kepada dunia betapa kayanya sikap malim gunung Kinabalu dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Terima kasih kepada semua Malim Gunung Kinabalu anda telah melakukan yang terbaik !
Terima kasih untuk tindakan-tindakan berani anda
Terima kasih untuk tangan-tangan anda
Terima kasih untuk kasih sayang anda terhadap semua pendaki-pendaki gunung Kinabalu.

Meski ada yang harus terkorban, pengorbanan anda tidaklah sia-sia
Anda membawa mata dunia melihat bangsa anda
Sebuah bangsa yang prihatin  dan hebat

Ketika anda pergi, ada keluarga yang harus ditinggalkan
Ketika anda pergi, ramai yang menangis
Anak kehilangan bapa
Isteri kehilangan suami
Ibu bapa kehilangan anak
Teman kehilangan teman

Tiada kata untuk menenangnkan semuanya
Hanya doa mohon kekuatan dari sang Pencipta
Dari Dia kita datang
Kepada Dia kita kembali
Hanya cara membezakan kita
Dimana destinasi  menghembuskan nafas terakhir
Bagaimana cara kita harus pergi selamanya

Ada orang pergi tanpa diingatati
Tetapi, anda telah meletakkan suatu dihati kami
Bahawa perginya anda hari ini
Bukan kerana kenakalan anda
Tidak juga kerana kejahatan anda
Apa lagi kurang ajarnya anda

Malim gunung Kinabalu yang terkorban
Perginya anda kerana memikul tugas
Kerana kasih yang besar
Anda sangat hebat !

Terima kasih untuk tindakan berani anda
Pergimu menyatakan bahawa didalam dunia ini masih ada orang yang sanggup untuk melakukan tindakan berani menyelamatkan meski dia tahu dia juga harus terkorban. Terima kasih kepada semua malim Gunung Kinabalu yang terlibat dalam operasi menjaga, melindungi dan menyelamatkan para pendaki waktu itu. Kepada Pasukan penyelamat Malaysia (SMART) juga, kepada semua yang terlibat dalam membantu..... terima kasih dan Tuhan memberkati anda.

Buat mangsa yang terkorban, Malim Gunung dan pendaki..........pergilah dan pulanglah kepada Penciptamu. Beristirehatlah dan nikmatilah hidup baru mu. Kami akan mengenang peristiwa ini dan juga keberanian anda semua.

Selamat tinggal buat anda yang pergi dalam tragedi gempa bumi Gunung Kinabalu, 05 Jun 2015.

10 Februari 2015

Ekspedisi Gunung Kinabalu ~ Jangan Menangis !

Kisah bersambung dari  Ekspedisi Gunung Kinabalu [ Part  1] dan [ Part 2]

Setelah menikmati nikmatnya berada di Puncak tertinggi Asia Tenggara itu, tiba waktunya untuk mengucapkan selamat tinggal pada sang gunung yang gagah. Ada waktu kita bertemu lagi, membaringkan diri didadamu nan bidang tanda rinduku pada damainya senyumanmu pada diriku (cewah! haha).

Hidup adalah soal keberanian menghadapi yang tanda tanya. Tanpa kita mampu mengerti, tanpa kita mampu menawar, terimalah dan hadapilah

Seketika ketika membaca kalimat ini saya mengiyakan sepenuh hati. Mana kita tahu soal hari esok, bahkan apa yang terjadi beberapa detik dari sekarang pun kita tidak tahu kejutannya apa. Oke, saya suka perkataan 'hadapilah'. ya, hadapilah perjalanan yang telah kita pilih sebelumnya.
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Cuaca adalah terbaik
Mahu menikmati rumah masing-masing harus melalui jalan pertama yang kita naiki sebelumnya. Mungkin sesetengah orang, turun merupakan hal yang jauh lebih mudah berbanding ketika naik tapi ternyata, ia adalah sebaliknya bagi saya.

Selepas packing, cepat-cepat ke Laban Rata untuk breakfast dan check out. Makan ala buffet, makan sepuas perut. Gembira kerana puncak sudah ditakluki dan memori tentang gunung Kinabalu sudah tersimpan rapi dalam hati dan minda. Bread masih berbaki 4 bungkus ^^awalnya ingin membiarkan bread itu berada dikaki meja makan di Laban Rata tetapi atas beberapa sebab saya mengambilnya lagi...dan bahagian ini saya suka. Ketika keluar dari Laban Rata seorang guide yang bukan guide kami bertanya 'apa itu'

saya : bread, tapi kami malas mau bawa turun. Kamu mau ?
Guide : Mau
Saya : nah...(sambil menghulurkan ke semua bungkusan bread tersebut)
Guide : Pounsikou e Tuhan ! (Puji Tuhan!) (berteriak kecil sambil mengambil bread itu)

Aaaaah, perkara simple yang membuat hati saya bergelora dengan sukacita. Sungguh, memberi lebih baik dari menerima dan saya menikmati hal itu meski ia hanya perkara kecil yang kurang nilainya, mungkin. Setelah berganti senyum dan hati (eh..hahaha) kami meneruskan perjalanan.Cuaca waktu itu sangat baik, cerah secerah hatiku dan hati kawan-kawanku (cerahkah hati kamu? :P)
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015

Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Antara member yang sempat bergambar
Married at Mt. Kinabalu
Honeymoon di Puncak Kinabalu
Risau kerana kaki mulai lenguh dan sakit-sakit ketika turun. Jarak perjalanan tidak berubah, ia masih sama seperti waktu naik iaitu 6KM.
Ekspedisi Gunung Kinabalu
Kalau dari bawah, KM5 ni sangat jauh...kalau dari atas KM1 itu sangat jau
Ketika turun kami berjalan beriringan dengan beberapa ahli team  kami, jalan tak bergandingan namun saling mendorong diantara sesama. Berjalan sambil melemparkan senyuman pada para pendaki yang mungkin sedang bertanya 'jauh lagikah..jauh lagikah' didalam hati mereka. aaaah..saya faham perasaan itu kerana saya telah melewatinya sebelum ini. 
Ekpedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2015

Ekpedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2015

Ekpedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2015

Ketika menghampiri KM4 kaki sudah mulai tidak mahu berkompromi. Seakan tidak mahu bersahabat dengan saya. Penat sangatkah kakiku ini ? Maafkan saya wahai kaki kerana mengajakmu ketempat seperti ini.
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Jangan berhenti sampai disini
Perjalanan ini buat saya amat berkesan. Kebiasaanya saya agak 'malas' dengan kawan-kawan saya, kalau diajak trip selalu semangat diawal, tapi begitu menjelang hari tersebut semua mundur teratur dengan alasan yang kadang 'haiz!' (hehe). Namun, kali ni mereka semua serius ikut team saya. I love you-lah ! (haha).
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Laluan yang membuat anda mental seketika ^^hehe
Lanjut kisah, kebanyakan dari kami sudah mulai mental kerana perjalanan ini terasa lebih sukar dari sebelumnya. Berjalan macam ketam. Penat namun berhenti jangan sekali-kali mengambil masa yang lama kerana itu akan menambahkan rasa malas semarak dihati. Beberapa pendakian sebelumnya saya berlari ketika turun, kali ni tidak boleh lagi. Kaki saya sakit kerana tidak ada training sebelum pendakian. (terpaksalah terima akibatnya dan saya menerima akibatnya tanpa sebarang tangisan).*semangat ni* haha.
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Panorama indah menewaskan kepenatan

Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Setiap langkah menghantar kita pada destinasi

Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
Bergambar sebelum meneruskan perjalanan
Ekpedisi Gunung Kinabalu 2015
dorang sedang menangis, kaki sakit....haha

Ekpedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2015
Syukur ada tongkat, kalau tidak terpaksalah merangkak :P
Sepanjang perjalanan turun kisah harus dipotretkan dengan ketikan gambar. Meski kaki sakit, senyum harus tetap terukir. Memulai perjalanan sekitar jam 10:20 am dari Laban Rata dan sampai di Timpohon pada jam 3:20 pm. Tidaklah teruk sangat jika pencapaian menjadi penilaian. Kami pulang dengan hati gembira dan puas luar biasa sambil hati berbicara 'suatu hari wajib berkunjung lagi ke Gunung Kinabalu'.



Aaaaah, leganya luar biasa sekali bila kaki selamat sampai di Timpohon gate. Perasaan berbaur gembira, bangga, puas dan variasi rasa ada didalam dada. Sungguh suatu nikmat dan kepuasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.  Pergi dengan harapan, kembali dengan inspirasi.
Sebelum salam berpisah dihulurkan pada mereka yang berjalan pulang sendirian, kami memutuskan untuk makan mengisi perut yang sedang kelaparan di Balsam Restaurant. Sebenarnya makan tengahari ala buffet ini sudah termasuk dalam pakej dan rugi rasanya jika tidak melengkapkan pakej tersebut dengan makan sepuas mulut sambil melihat-lihat gambar yang sempat diambil sepanjang trip Gunung Kinabalu kali ini. 
Ekspedisi Gunung Kinabalu
Senyuman ada kerana melihat namaku pada sijil itu (cewah)
Ternyata Gunung Kinabalu masih sama memberikan 1001 rasa dan pengalaman kepada setiap pengunjungnya. Buat yang penasaran, wajib mencuba menakluki Gunung Kinabalu sekurang-kurangnya satu kali dalam hidup. Saya hanya perempuan gendut berlemak tepu namun, semangatku kental dan tak pernah dimatikan oleh tingginya Gunung Kinabalu. Anda fit dan 'tagap' (ta-gap) ? Go, climb Mt Kinabalu. :D .....